from little hands

Yakin pada diri, serah padaNya, insyaAllah segalanya OK!

Doktor dari Rusia February 23, 2011

Filed under: life in moscow,perubatan — muslimahbestari @ 12:05 am

Assalamualaikum wbt.

 

Tadi baru nak godek-godek blog ni sebab sebelum ni memang sibuk sangat dengan cycle Obstetrics. Mana taknya, keluar awal pagi selepas Subuh, jalan meredah sejuk beku bersuhu -25’C dan ke bawah, dengan angin sejuk lagi, semua itu memerlukan daya tahan yang sangat tinggi. Kalau tanya sesiapa pun, siapa sanggup jalan di awal pagi apabila suhu mencecah -25’C? Ada seorang budak Malaysia yang datang sini untuk conference pun tak tahan dengan cuaca sejuk macam ni. Budak Rusia je faham dan tegar dengan cuaca sebegini sejuk. Tapi ni bukanlah nada berunsur berlagak, cuma berkongsi rasa apa yang dialami di sini. Sesetengah orang tidak nampak kesusahan orang lain tapi hanya tahu menempelak saja 🙂

 

Kembali kepada kisah saya godek-godek blog tadi. Ada yang sampai ke blog saya ni dengan word “Doktor dari Rusia”. Dalam fikiran saya, pastilah si dia ini antara orang yang membaca Berita Harian yang mengatakan doktor tamat pengajian luar negara tidak cekap terutamanya Rusia. Masa tu kecoh la budak-budak sini tentang isu itu. Ada yang mengamuk, ada yang tolong tenangkan. Ada yang melenting, ada yang sabar. Tapi sebenarnya bukan artikel itu yang menaikkan darah anak-anak muda di sini tapi komen-komen (salah seorang tu claim yang dia adalah seorang pegawai perubatan) di bawah artikel itu yang mendidihkan.

 

Begini ceritanya, ada satu artikel berita harian yang mengatakan doktor yang tamat pengajian luar negara tidak cekap. Tapi ada komen tu yang menyebabkan kawan-kawan saya marah sangat. Pointnya adalah: 1. Budak Rusia hanya tahu berjalan (melancong). 2. Mereka yang ambil perubatan di Rusia ada yang ambil aliran sastera. 3. Letak stetoskop bukan di tempat yang betul. Itu isu yang paling besar. Tapi yang paling seronok adalah artikel itu diletakkan di muka hadapan suratkhabar.

 

Pada saya ada betulnya cuma ia bukan boleh diaplikasikan kepada SEMUA DOKTOR YANG BERKELULUSAN DARI RUSIA. Mungkin ada kes-kes tertutup yang sengaja dibesar-besarkan. Ok, kita lihat satu persatu. Budak Rusia suka melancong? Katanya menghabiskan duit rakyat. Pada saya, kami bukan suka melancong. Kami hanya berjalan pada musim cuti. Apa yang bezanya kalau cuti pergi berjalan menjelajah bumi Tuhan dengan pulang ke tanah air bertemu keluarga? Guna duit juga. Tambah pula Moscow ini sangatlah sejuk di kala musim sejuk (winter), ramailah antara kami yang memilih untuk keluar dari Moscow untuk pergi ke tempat-tempat yang lebih panas suhunya. Itupun kami sudah consider banyak aspek. Kami bukan membazir ambil flight mahal, kami ambil flight yang ada promosi sebab kami sedar kami ini masih belajar. Ada duit lebih sikit, apa salahnya jelajah bumi Tuhan, ambil iktibar dan pengajaran. Dalam Al-Quran juga menggalakkan kita berjalan. Kalau pelajar yang belajar di negara lain pun, tak kisahlah Jerman ke, UK ke, US ke, walhal negara Arab sekalipun, bukan tak ada yang melancong. Saya sendiri pun ada terjumpa budak Malaysia yang berjalan keluar dari negara tempat mereka berjalan. Jadi bukanlah budak Moscow saja melancong! Jika belajar di Malaysia pun, saya tak rasa mereka tak berjalan sewaktu cuti. Paling tidak pun pergi Pulau Langkawi, tapi pun berjalan juga. Tak gitu? 😀

 

Kedua, ambil aliran sastera. Huh? Saya sendiri ambil aliran Sains Tulen sewaktu di sekolah menengah dulu. Tambah pula sekarang sudah ada No Objection Certificate (N.O.C) dari Kementerian Pengajian Tinggi sama ada layak atau tidak seseorang itu untuk belajar di Rusia ni. Dah kalau ambil aliran sastera, kamu rasa KPT luluskan dan keluarkan tak N.O.C tu? Fikir sendiri la. Tambah pula kebanyakan budak Rusia ini di bawah tajaan (biasiswa), mestilah pelajar yang terpilih. Ada orang yang gagal dalam SPM dapat biasiswa? Mungkin mereka yang bermasalah tu belajar atas tanggungan sendiri. Tapi saya tak rasa semuanya begitu. Ramai saja batch saya yang masih cemerlang walaupun kos pengajian ditanggung oleh mak ayah mereka. Cuma mungkin ada segelintir yang tercicir. Tapi kita tak boleh nak judge semua orang berdasarkan seorang saja yang bermasalah.

 

Ada seorang junior saya yang pergi hospital, lepas tu kena suntik berkali-kali tak dapat ambil darah, apabila ditanya grad mana, katanya grad local universiti. Ada senior saya kata, mereka yang extend posting dari local universiti.  Tengok? Bukan semua universiti selain Rusia yang tak ada masalah tapi kenapa Rusia saja yang dilihat paling teruk? Apa yang membanggakan lagi, ada grad dari Rusia yang sekarang ini menjadi Ketua Housemen di hospital masing-masing.

 

Ketiga, letak stetoskop tak betul. Hurm ini mungkin terjadi tapi pada saya, itu asas dalam perubatan kot. Takkanlah points of auscultation tak tahu? Saya ini bukanlah hebat sangat tapi sekurang-kurangnya, asas kena ada dalam tangan. Kita ini bila belajar kena ada disiplin. Disiplin itu buatkan kita bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu amanah. Belajar itu satu amanah. Kerjaya tu juga satu amanah. Jadi dengan disiplin kita boleh pegang amanah dengan baik Insyaallah.

 

Apabila terjadi perkara-perkara begini, ia buatkan kami budak Moscow lebih kuat. Dengan dugaan orang Rusia yang berfikiran komunis, yang masih berada di dalam dunia mereka, yang tidak berapa menyukai orang luar, tambah pula dengan perempuan bertudung seperti saya (muslimah insyaallah), lagilah pandang macam nak makan orang lebih-lebih lagi selepas kejadian pengebom berani mati. Macam-macam dugaan, sejuk melampau, ancaman bom yang bila-bila saja, perangai orang Rusia. Bukan semua orang boleh hadapi semua dugaan itu secara serentak. Jadi apabila timbul perkara doktor Rusia tidak cekap, kami merasakan itu bukan salah kami. Kami dihantar oleh kerajaan untuk menuntut ilmu dan kami pegang amanah itu dengan sebaiknya. Segala perkara yang terjadi selepas ini kami serah bulat-bulat pada Allah selepas berusaha. Daripada melenting tak tentu pasal, lebih baik letak pergantungan kepada Allah. Dia lebih berkuasa dari suratkhabar ke doktor hebat mana ke, atau sesiapa sajalah.

 

Saya bukanlah mahu merungut, saya sebenarnya tak suka nak rosakkan hati saya dengan marah tentang perkara-perkara begini. Bersabar adalah jalan terbaik dan pada masa yang sama menuntut ilmu. Itu lebih bermanfaat. Semoga saya dan sahabat-sahabat lain boleh jadi doktor yang cekap seterusnya membidas dakwaan mereka yang tak betul itu. Kami nak buktikan yang kami juga mampu jadi doktor setanding dengan doktor grad UK, US yang orang Malaysia bangga-banggakan tu. Saya tak salahkan mereka yang belajar di sana cuma orang Malaysia yang terlalu mengagungkan UK dan US. Mereka yang belajar sana tu itulah rezeki mereka. Dan rezeki saya di sini. Allah takdirkan saya ke sini. Saya terima dengan redha.

 

**Maaf kalau ada yang terasa ketika membaca tulisan saya ini. Saya mahu motivasikan diri saya.

**Dengan timbulnya perkara ini, seolah-olah membunuh harapan dan jiwa seorang doktor yang mahu merawat pesakit. Tambah pula kalau mereka kata, “Saya tak mahu doktor Rusia rawat saya!”

**Apa saya harap dengan doktor yang komen pada artikel tu: semoga dia dapat pesakit Rusia yang tak tahu berbahasa inggeris. Baru dia tahu betapa pentingnya doktor dari Rusia :mrgreen:

 

Alhamdulillah February 22, 2011

Filed under: life in moscow — muslimahbestari @ 4:41 pm

Assalamualaikum wbt.

 

Alhamdulillah atas nikmatNya. Alhamdulillah atas kemudahan urusan setiap hari. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah. Itulah kalimah yang selayaknya untuk Allah Azza Wajalla.

 

**Sudah berakhir cycle Obstetrics (sakit puan). Next stop: Polyclinic Therapy

 

Madrid February 14, 2011

Filed under: Jelajah Bumi Tuhan — muslimahbestari @ 9:59 pm

Assalamualaikum wbt.

 

Hari ini saya balik dari kelas, saya tertidur. Saya hanya terbangun apabila kawan saya sampai dari Malaysia. Oh ye, kawan saya ini baru saja mendirikan rumah tangga balik cuti musim sejuk yang lepas. Jadi kami satu rumah memang menunggu kepulangan beliau untuk mendengar cerita sepanjang majlis beliau hari itu. Iya lah, kami pun tidak balik bercuti untuk hadir ke hari bersejarahnya itu. Jadi apa yang kami boleh buat adalah berdoa untuk kebahagiaan mereka berdua.

 

Jadi, hari ini saya ingin menyambung cerita tentang percutian kami hari itu. Jadi kita akan berhijrah ke Madrid, salah satu bandar yang besar di Sepanyol. Madrid ini satu bandar yang agak moden. Kalau sebut satu pasukan bola, Real Madrid, pasti semua orang pernah dengar tentangnya. Real Madrid adalah pasukan bola yang berasal dari Sepanyol. Nama pun Real Madrid, pastilah dari Madrid 🙂

 

Peta lokasi Madrid

 

Perjalanan dari Barcelona ke Madrid mengambil masa selama 8 jam. Kami bertolak malam sebelumnya dan sampai di Madrid pada pukul 5.30 pagi. Dari stesen bas, kami mengambil subway untuk ke hostel dan sampai di hostel lebih kurang pada pukul 6.45 pagi. Tapi kami masih belum boleh check-in. Jadi kami solat subuh dan tinggalkan barang-barang kami sebelum keluar semula cari sarapan sebab kami lapar sangat-sangat. Manalah larat mahu berjalan jika perut kosong. Jadi kami berjalan di sepanjang jalan tu dan terjumpa Dunkin Donut dan kami dah malas nak fikir, tambah pula perut lapar, kami pun sarapan di sana.

Sarapan di Dunkin Donut sambil point out tempat mana nak pergi

 

Di Madrid kami duduk di hostel yang terletak di Anton Martin. Saya dah terlupa nama hostel tu. Maaflah ye 😀 Tapi saya letak beberapa keping gambar hostel tapi tak banyak sebab tak teringat nak ambil gambar 😀

Pintu masuk hostel kami

Kami mahu check out dah 🙂

Lama juga kami duduk di Dunkin Donut tu. Sampai pukul 10 pagi. Tapi waktu tu pun, orang masih belum ramai lagi di jalan. Lagi seronok jalan waktu begini. Senang mahu ambil gambar. Mula-mula kami pergi ke pusat informasi pelancong (tourist information centre). Kami mahu bertanya bagaimana mahu membeli tiket bas untuk ke Granada dan Toledo dari Madrid. Nanti insyaallah ada cerita dari Toledo dan Granada. Selepas mendapat semua info yang diperlukan, kami pun mula berjalan meronda-ronda bandar Madrid. Oh ya, kami duduk di Madrid selama dua hari dua malam. Tapi sebenarnya Madrid tiada apa pun. Cukuplah dua hari satu malam. Malam hari kedua tu bolehlah bergerak ke destinasi lain pula. Tapi kami tersilap perhitungan, kami tempah lagi bilik tu untuk malam kedua yang sebenarnya amatlah merugikan. Lebih baik bergerak ke Granada, dapatlah lama sikit di sana. Tak apa, kita tinggalkan dahulu cerita itu.

 

Hari pertama tu kami berjalan di tempat-tempat tarikan pelancong. Kami bermula dari Puerta De Sol dan terus jalan mengikut peta. Di sepanjang jalan tu, kami pergi ke tempat-tempat ini:

1. Puerta de Sol.

2. Plaza Mayor

3. Monasterio de Las Decalzas Reales

4. Ayutamiento de Madrid (kira macam Putrajaya kalau di Malaysia)

5. Royal Palace

6. Royal Theatre

7. Parque Emir Muhammad I

8. Jalan di sepanjang Gran Via Madrid

Plaza Mayor

Plaza Mayor lagi

Petunjuk jalan ini sangat membantu 🙂

Spanish tradition ini disarankan untuk dicuba tapi kami tak cuba sebab tak sempat

Sekitar Ayutamiento de Madrid

Parque Emir Mohamed I (tapi mereka dah banyak hapuskan bukti kewujudan park ini)

Royal Palace

Royal Theatre

Taman di luar Royal Palace

Fountain antara Royal Park dan Gran Via Madrid

 

Disebabkan kami baru sampai pagi tu, kami tak larat mahu jalan sampai malam. Jadi kami pulang awal dan siapkan barang untuk dibawa ke Toledo esok pagi. Tapi cerita di Toledo insyaallah saya akan cerita di lain entri. Di Toledo pun seronok juga. Eh, tak bolehlah cerita sekarang, nanti tak seronok :mrgreen:

Hari kedua, pagi tu kami bertolak ke Toledo. Sepanjang perjalanan pulang dari Toledo, saya tertidur dalam bas sebab penat sangat. Sampai saja di Madrid, saya terus je bangun. Maklumlah, masa tu tengah mamai kata orang. Jadi saya hanya tahu bangun dan turun dari bas. Beg pun kawan saya yang terpaksa bawa. Dah la dia ni kecil orangnya, bawa pula beg besar. Kasihan pula bila diingatkan semula 😀 Masa tu la saya tertinggal sarung tangan saya dalam bas. Bila dah teringat, cari bas tu semula, bas tu dah nak bergerak semula ke Toledo dan saya tak dapat pun cari sarung tangan saya tu. 😥

Dari stesen bas Toledo tu, kami berjalan untuk ke Matadero (tempat bullfighting tapi sekarang under renovation). Kami hanya ambil gambar dari luar saja. Kami masuk dalam juga tapi disebabkan mereka tengah melakukan kerja-kerja pembaikpulihan, tak banyak yang kami dapat tengok. Selepas itu kami pergi lagi ke stesen bas lain untuk membeli tiket bas ke Granada. Setelah selesai, kami ke Retiro Park tapi apabila kami sampai, hari dah beransur malam. Dan kami terpkasa lalu jalan jauh sebab waktu tu, ada sekumpulan pemuda yang nampak mencurigakan jadi kami mengambil keputusan untuk lalu jalan jauh. Ya lah kan, takkan nak cari nahas lalu jalan tu juga walaupun dah tahu keadaannya begitu. Tak apalah. Kita teruskan perjalanan.

Tembok luar Matadero

Hampir dekat dah dengan pintu masuk

Pintu masuk Matadero


Sampai di jalan bertentangan dengan Retiro Park tu, ada satu pintu gerbang yang sangat besar. Rele Carolo III. Pintu gerbang ini terletak di Plaza de Independencia. Dan di situ juga ada bulatan (roundabout) besar. Susah juga nak lintas jalan besar tu tapi mujur ada tempat lintasan pejalan kaki. Tunggu saja lampu isyarat hijau menyala 😀 Retiro Park ini besar. tapi saya nasihatkan jika mahu pergi park ini, pergilah waktu siang supaya kamu tidak sesat. Sebab apa saya kata begitu, sebab kami hampir tersesat ketika mencari pintu keluar. Huhu..

Pintu gerbang yang saya cakap tadi


Di dalam park ini ada beberapa monumen seperti Alfonso V monument, Crystal Palace dan beberapa tempat lagilah. Kami pun tak sempat nak ronda semua sebab hari dah malam. Rugi jugalah sebab orang kata park ni sangat cantik tapi tak ronda semua. Tak apalah, tak ada rezeki kot :mrgreen: Kiranya inilah destinasi terakhir kami di Madrid. Harapnya ianya membantu sesiapa yang mahu ke Madrid. Manalah tahu ada yang nak berbulan madu di Madrid ke 😛 Tapi ada satu lagi tempat yang saya cadangkan untuk sesiapa yang mahu bercuti bersama keluarga. Tungguuu ~~ :mrgreen:

Pintu masuk Retiro Park

Monumen Alfonso V

Berposing sikit la 😛

Inilah kawan saya yang kecil tu 😛

Jalan yang hampir buatkan kami sesat

Saya tinggalkan ini buat kamu di luar sana. Walaupun di Malaysia atau di mana jua keadaannya tidaklah sesejuk bumi Moscow ini, saya tinggalkan ini untuk peneman kamu semua :mrgreen:

Teh pudina yang menyegarkan di kala musim sejuk. Memang menyamankan.

 

**Tips I untuk berjalan: Sentiasa bersikap curiga pada orang luar supaya keselamatan diri terjamin.

** Syukur kepada Allah sebab buku credit saya dah terisi semuanya. Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah

**Salam Maulud Nabi. Allahumma solli’ala sayyidina muhammad.

 

Hari 5 February 12, 2011

Filed under: life in moscow — muslimahbestari @ 6:20 pm

Assalamualaikum wbt.

 

Hari ini tak ada mood pula nak sambung cerita percutian hari tu. Jadi tulis entri pendek saja. Saya mahu sambung cabaran yang tak habis-habis tu. Hehe..

 

Day 5 – A photo of yourself two years ago.

 

Gambar ini sangat memberi kesan sebab inilah kali terakhir kami satu bilik keluar untuk photo-outing di musim sejuk. Berakhir di coffee house memang sangat mengembirakan. Memori yang tak boleh dilupakan 🙂

 

**Semua orang tahu kehadiran Valentine’s Day tapi berapa orangkah yang sedar ketibaan Maulud Nabi? Tak payah sambut Valentine’s Day ok? Kita selawat banyak-banyak untuk junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

 

Barcelona February 8, 2011

Filed under: Jelajah Bumi Tuhan — muslimahbestari @ 2:40 am

Assalamualaikum wbt.

Ok. Hari ini kita nak menjelajah ke suatu tempat di Sepanyol yang bernama Barcelona. Barcelona ni terletak di tepi laut. Setelah kami sampai di lapangan terbang, kami mengambil bas untuk ke centre of the city bernama Plaza Catalunya. Biasanya bas ekspres untuk bergerak ke seluruh Sepanyol pun berhenti di plaza ini. Plaza ini dikira tengah bandar dan ramai orang yang berkumpul di plaza ini terutamanya di waktu petang. Dan pusat informasi pelancong juga terletak di plaza ini. Kiranya para pelancong tidak akan sesat dan berjalan di sekitar bandar Barcelona memang sangat mudah.

Di mana Barcelona?

 

Di Barcelona, kami bermalam di Garden House Feet Up Hostel Barcelona. Hostel ni agak jauh dari centre sebab salah kami juga, kami tak periksa dahulu lokasinya sebelum book. Jadi terpaksalah travel untuk ke centre.

Penjaga kaunter check in

Common room

Terrace

 

Hari pertama tu, kami sampai saja, setelah check in hostel semua, kami berjalan ke Sagrada Familia, satu gereja yang tidak pernah siap pembinaannya walaupun setelah beberapa lama. Kami tidak naik pun ke atas, hanya tengok saja dari luar. Maklumlah, kami ni jimat duit untuk sesuatu yang lebih besar 😀 Dan selepas itu, kami meneruskan perjalanan mencari tiket bas ke Madrid. Apabila sudah mendapat tiket, kami teruskan lagi menjelajah ke La Rambla Street, tempat yang terkenal dengan pelbagai aksi dan ragam manusia serta cenderahati juga dijual di sini. Kalau ke La Rambla pada waktu malam, ramai orang berkumpul dan kamu boleh menyaksikan aksi-aksi yang menarik perhatian oleh orang-orang mereka di sepanjang jalan itu.

Tugu ini berdiri di Plaza Catalunya

Menikmati petang di Plaza Catalunya

Sagrada Familia

Antara yang menarik di La Rambla Street. Orang ini orang betul tau. Mereka cat badan mereka.

 

Malam itu kami pulang awal. Maklum sajalah, baru sampai. Tenaga pun sudah habis digunakan untuk mengangkat beg berat. Jadi kami mengambil keputusan untuk pulang awal supaya kami mempunyai tenaga yang cukup untuk berjalan keesokan harinya.

 

Pada keesokan harinya, kami memulakan perjalanan ke Park Guell, satu taman yang mana pembina taman ini adalah orang yang sama membina Sagrada Familia iaitu Antoni Gaudi. Taman ini sangat besar sehinggakan kami mengambil masa selama 3 jam untuk menghabiskan ronda sambil ber-posing :mrgreen:Kami sebenarnya sampai di Park Guell tu awal pagi. Kiranya sewaktu kami sampai tu, masih berapa kerat saja orang yang berkunjung. Oh ya, masuk Park Guell ni percuma saja dan ianya terletak di kawasan berbukit. Ha, sambung semula. Jadi bila tak ramai orang, seronok la kami bergambar. Ada la mencecah 300 keping gambar kami snap! Hehe.. Perempuan.. Perempuan..

Pintu masuk Park Guell

 

Selepas itu, kami berjalan turun dari Park Guell ke Plaza Catalunya dan terus ke Montjuïc. Kawasan Montjuïc ni terletak di Plaza Espana. Di sinilah para pelancong boleh melihat Magic Fountain yang berwarna-warni di waktu malam. Tapi sayangnya semasa saya pergi tu, fountain ini tidak dibuka kerana ia dibuka pada hari-hari tertentu saja. Dan tadi baru saya tahu maksud Montjuïc ini adalah Jewish mountain. Ish.. ish.. ish.. Di Plaza Espana ini juga terdapat dua buah menara yang seolah-olah menjadi pintu masuk kepada Montjuïc ini.

Inilah gambar magic fountain tu

 

Setelah penat berjalan jauh, kami pun singgah semula ke La Rambla untuk mencari souvenir Barcelona. Beli sikit-sikit saja sebab Barcelona ini agak mahal (tapi Moscow lagi mahal la :-P) dan kami berjalan-jalan di sekitar Plza Catalunya saja. Apabila sudah sedikit petang, kami pun pulang ke hostel semula sebab malam tu kami kena bergerak ke stesen bas untuk ke Madrid.

 

Satu perkara yang saya mahu ingatkan kepada sesiapa yang ingin ke Barcelona. Di Barcelona ini kena sentiasa berhati-hati dengan penyeluk saku sebab kawan saya sendiri mengalaminya (hampir diseluk saku begnya) semasa kami dalam perjalanan ke stesen bas. Mentang-mentang kami berdua saja, perempuan pula tu, mereka (seramai 3 orang, badan besar kot!) mengekori kami dari stesen metro bawah tanah lagi. Kisahnya begini. Pada malam tu kami ke stesen bas dengan menaiki metro bawah tanah. Setelah keluar dari gerabak tu, kami perasan mereka yang tiga orang ni sedang tunggu di lif. Jadi saya cakap dengan kawan saya supaya naik saja eskalator instead of the elevator. Mana taknya, muka mereka memang sangat mencurigakan. Jadi kami rela naik eskalator dari naik lif demi keselamatan diri kami. Bila kami berkeputusan untuk naik eskalator tu, mereka mengekori kami dari belakang.

 

Apabila kami berhenti, mereka pun berhenti. Kami berjalan, mereka ikut. Dua kali kami berhenti, dua kali mereka berhenti juga. Mana tak cuak! Jadi kami terus naik eskalator kedua dan tiba-tiba… Eskalator tu berhenti. Aku dengan pantas tolong kawan aku ni angkat bagasi dia (sebab dia sangat kecil untuk angkat bagasinya dengan cepat). Dan waktu tu lah, kami perasan beg selempang kawan saya tu ditarik ke belakang dan kameranya hampir terkeluar dari beg. Memang lagi sikit saja kamera tu nak diambil! Tapi kuasa Allah Yang Maha Mendengar doa hambaNya yang bermusafir. Alhamdulillah tiada apa yang jadi.

 

Pada malam tu kami bertolak ke Madrid.

 

Satu perkara lagi yang menarik tentang Barcelona ini adalah makanan lautnya. Disebabkan lokasinya di tepi laut, makanan lautnya sangat segar. Jadi sesiapa yang berkesempatan, cubalah makanan lautnya. Pasti kalian berpuas hati!

 

**Disebabkan saya mahu update cerita Barcelona tapi saya belum mengambil gambar dari kawan saya, saya ambil saja sebahagian gambar tadi dari internet. Tapi yang ada gambar saya tu memang saya punya koleksi la. :mrgreen:

 

Hari 4

Filed under: Uncategorized — muslimahbestari @ 1:14 am

Assalamualaikum wbt.

 

Hari ini belum ada mood mahu teruskan cerita tentang percutian yang lepas sebab gambar belum dikumpul lagi. Terasa berat mahu menapak ke tingkat 6 sana. Insyaallah saya akan update juga sebagai perkongsian saya dengan para pembaca.

 

Kali ini selesaikan tugas cabaran Plurker untuk hari ke-4.

 

Day 4 – Your favorite photograph of your best friend.

 


 

Percutian ke Eropah February 6, 2011

Filed under: Jelajah Bumi Tuhan — muslimahbestari @ 7:27 pm

Assalamualaikum wbt.

 

Alhamdulillah. Saya baru sahaja pulang dari bercuti. Dua minggu lepas, saya bersama kawan saya seorang lagi bercuti di Sepanyol, Portugal dan Perancis. Kami bertolak dari Moscow pada awal pagi 23 Januari 2011. Kami transit di Rom, Itali sebelum sampai ke Barcelona pada pagi yang sama.

 

Yang bertanda kuning tu adalah tempat yang saya pergi. Dan dalam peta tu Granada tidak dilukis, jadi saya letak sendiri

 

Sampai saja di sana, kami mengambil bas dari lapangan terbang ke bandar Barcelona sebelum mencari hostel tempat kami akan bermalam. Apabila tengok peta yang kami dapat dari tourist information centre tu, terkejut betul sebab hostel kami tu jauh sangat di hujung peta. Dengan beg yang berat tu, kami heret sampailah ke hostel. Tapi semasa kami sampai tu, kami tak boleh check in lagi sebab check in hanya boleh dibuat selepas pukul 2 petang. Terpaksalah kami tunggu selama satu jam di common room hostel tu. Lepas dapat masuk bilik, siap-siap solat semua, baru kami mula berjalan-jalan di sekitar bandar Barcelona.

 

Dalam 2 hari kami habiskan masa di Barcelona sebelum kami bertolak ke Madrid. Kami ke Madrid dengan bas yang mengambil masa selama 8 jam. Sampai Madrid awal pagi esoknya. Sampai saja di hostel tempat kami bermalam, kami solat Subuh (sebab belum boleh check in lagi), tinggalkan beg besar (tapi barang berharga kena sentiasa bawa) dan terus keluar memulakan perjalanan di sekitar kawasan terdekat.

 

Kami berada di Madrid selama dua hari dua malam. Kami juga sempat ke Toledo, satu bandar kecil yang dahulunya pernah menjadi saksi berdirinya kerajaan Islam di sana. Perjalanan ke Toledo hanya mengambil masa selama 45 minit dengan menaiki bas. Hari ketiga tu, kami bertolak ke Granada, yang terkenal dengan Al Hambra yang sangat cantik. Cerita di Granada tu saya akan ceritakan kemudian bila semua gambar telah dikumpul. Tapi serius, Al Hambra sangat-sangat cantik dan mendamaikan. Ianya seceria nama yang dibawanya iaitu the red one (dalam bahasa Arab, ianya ditulis sebagai Al Hamra).

 

Kami duduk di Granada selama dua hari dua malam juga. Pagi hari ketiga tu, kami bertolak ke Cordoba (dalam arab disebut Qurtubah). Di sana berdirinya sebuah masjid yang sangat besar yang sekarang sudah bertukar menjadi Cathedral tapi seni bina Islam dan mimbarnya masih kekal di tempat yang sama. Yang berbezanya adalah ruang solat masjid itu penuh dengan chapels yang berlainan nama. Berada di situ terasa sedih dan seram sejuk. Berada di situ jugalah, saya terfikir, apa yang saya boleh lakukan untuk membantu Islam. Sebelum masuk ke dalam masjid tu, kami diingatkan oleh pakcik yang menjaga situ: Are you Muslim? Kami menjawab: Yes we are. Dia pun membalas: I want to remind you that you are not allowed to pray here since you know that this is not a mosque. It had been transformed into a cathedral. Kami yang malas nak mendengar pakcik tu cakap lagi, kami pun membalas: Ok. We know.

 

Petang tu, kami terus bertolak ke Seville, destinasi terakhir kami untuk sesi jelajah Sepanyol. Kami sampai di Seville malam tu dalam pukul 8 malam tapi disebabkan ramai orang muda yang berkeliaran di hadapan stesen bas (dan menyebabkan kami terasa macam tak yakin untuk berjalan kaki mencari hostel kami), kami pun mengambil keputusan untuk naik teksi saja. Mujur tak mahal sangat sebab tempat tu memang dekat tapi kami saja yang tak mampu hendak berjalan. Sampai saja, bersihkan diri, solat dan tidur. Kami perlu recharge energy untuk sambung jelajah Seville pula esok pagi.

 

Pagi esoknya, kami keluar selepas sarapan. Tapi apabila kami keluar saja, tengok tak ada orang pun di jalanan. Maksud saya, kami seolah-olah keluar sangat awal. Tapi logik la sebab hari tu hari Ahad dan kami keluar sedikit awal untuk mencari tiket bas ke Lisboa, Portugal. Hari tu kami berjalan dengan gembiranya sebab tiada orang ramai dan kami senang mahu mengambil gambar. Biasalah, perempuan, kalau berjalan, kalau tak ambil gambar, mana sah! :mrgreen:

 

Kami di Seville satu malam saja. Asalnya memang mahu duduk dua malam tapi memandangkan tiket bas ke Lisboa tengah malam kedua tu, kami terpaksa berangkat ke Lisboa malam tu juga. Dan kami tidur dalam bas malam tu. Kami sampai di Lisboa awal pagi keesokan harinya. Kami tidak menginap pun di Lisboa tapi kami terus berangkat ke Porto petang tu juga. Tiada apa yang menarik pun di Lisboa. Kami sampai di Porto pun malam juga. Dan di Porto sedikit sejuk sebab ia terletak di tepi sungai (dan ia terkenal dengan pelabuhannya). Seronok duduk di Porto sebab berkawan dengan orang-orang tua 😀

 

Dan destinasi terakhir percutian kami di Perancis( lebih spesifik, di Paris) tempat yang dikatakan sangat romantik untuk pasangan kekasih. Tapi ye kah? 😛 Berada di Paris selama dua hari memang sangat memokaikan! Hehe.. Sebab dah malas nak jalan, jadi kerjanya makan sajalah! Huhu

 

Setakat ini itu saja yang saya tulis. Cerita di setiap tempat nanti, insyaallah saya update kemudian. Tapi saya tak rasa ramai yang baca sebab pembaca blog saya ini ramai sudah lari sejak saya berhenti menulis dahulu. Tapi tak apalah, sekadar menulis untuk berkongsi rasa, dan bercerita pengalaman, tak ada orang baca pun, tak apalah. Sekurang-kurangnya ia boleh jadi memori apabila saya sudah tua nanti. :mrgreen:

 

**Route kami adalah: Moscow-Barcelona-Madrid-Toledo-Madrid-Granada-Cordoba-Seville-Lisboa-Porto-Paris-Barcelona-Moscow

**Satu hari berjalan sepanjang 5 kilometer sangat membengkakkan kaki. Tak percaya, cubalah!